Antara perkara yang sering kita risaukan adalah persoalan mengenai rezeki. Selalu kita menanyakan dengan kawan-kawan atau keluarga, berapa gaji? Anak dah berapa? Apa projek terbaru? dan lain-lain lagi. Perkara ini sering bermain di dalam fikiran kita tanpa kita sedari.

Rezeki sering kali disamakan dengan wang ringgit.  Ketahuilah bahawa kenyataan itu tidak tepat. Rezeki bukan sekadar wang ringgit, rezeki juga termasuklah kesihatan, keluarga yang bahagia, dipermudahkan urusan harian dan diberi ruang dan masa untuk beribadah.

Sesungguhnya saat Roh ditiupkan semasa dalam Rahim , ada 4 perkara yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu:

1. Rezeki kita

2. Ajal kita

3. Amalan kita

4. Kebahagiaan dan kecelakaan kita

Tidak perlulah kita terlalu risau mengenai rezeki. Tetapi tidak risau di sini bukan bermakna kita tidak perlu berusaha lansung.

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rizkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)” Hud:6

Seterusnya kita harus yakin bahawa datangnya rezeki itu daripada Allah, bukanlah daripada manusia, pemimpin atau majikan. Ya, betul majikan yang memberikan gaji. Pelanggan yang beri sales. Tapi mereka hanyalah asbab sahaja. Bukanlah mereka yang memberikan rezeki tersebut.

Dan apabila kita percaya yang rezeki itu hanyalah wang ringgit semata, nescaya sampai bila pun kita tidak akan pernah merasa cukup. Diberi satu kita nak dua, diberi dua kita nak tiga dan begitulah seterusnya. Bak kata pepatah melayu, diberi betis nak peha.

Andai kata manusia itu telah mempunyai harta benda sebanyak dua lembah, mereka masih ingin untuk mendapatkan satu lembah lagi. Tidak ada yg dapat mengisi perutnya sampai penuh melainkan hanya tanah (maut) – HR. Muslim 

 

Jadi lah seperti burung

Sekiranya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, niscaya Allah akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana rezeki yang diberikan kepada seekor burung yang pergi di pagi hari dalam keadaan perutnya kosong kemudian kembali pada waktu petang dengan perut terisi penuh- HR Tirmizi

Kita seharusnya mengambil pengajaran daripada burung. Oleh kerana tawakalnya kepada Allah, sentiasa dicukupkan rezekinya. Tidak pula dia risau akan rezekinya setiap hari. Bagi manusia yang bertakwa pula, akan sentiasa dicukupkan rezekinya. Kita jaga urusan kita dengan Allah, inshaAllah akan Allah akan mempermudahkan pula urusan kita.

 

Cara bertawakal

Dan bagaimana pula caranya kita nak bertawakkal dalam mencari rezeki, adakah dengan duduk berdoa sahaja sudah diberikan rezeki dari langit? Tidak, kita bukannya Maryam yang diberikan makanan direct daripada langit.

Seharusnya kita perlulah berusaha sehabis baik terlebih dahulu dan kemudiannya berdoa memohon bantuan Allah. Ada seorang kawan pernah bercerita, dia kata mintalah secara spesifik apa yang kita mahu dengan Allah. Minta setiap kali solat. InshaAllah akan dipermudahkan. Masalah kita ni, kita jarang nak minta dengan Allah yang maha pemurah.

Seterusnya barulah kita menyerahkannya kepada Allah. Percayalah, apa pun hasilnya, ianya pasti yang terbaik buat kita. Kadang kita nak sangat satu benda ni, tiap hari kita berdoa, tapi tak dapat juga, percayalah pasti ada hikmah di sebaliknya. Contohnya motor rosak masa kita nak pergi interview, kita pun marah, tapi kita tidak tahu, jika kita keluar hari tu, mungkin kita akan ditimpa kemalangan.

Jika daripada hasil usaha kita itu kita mendapat nikmat, maka bersyukurlah. Jika diberi ujian, maka bersabarlah.

Categories: Umum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *