Pengurusan harta pusaka bukanlah perkara yang mudah. Masih ramai yang tidak faham atau tahu mengenai proses pengurusannya.

 

Secara amnya ada 7 langkah dalam proses pengurusan harta pusaka.

 

Langkah 1: Jaga harta Pusaka arwah

Apabila arwah meninggal, pastikan semua harta tidak diambil oleh sesiapa. Tidak kira emas, baju, mahupun sikat rambut kerana semua sudah menjadi PUSAKA. WAJIB MENGIKUT HUKUM HARTA PUSAKA.

 

Ada beberapa kes saya jumpa, hari ini meninggal. Esok adik beradik perempuan sudah agih agihkan emas tanpa pengetahuan semua adik beradik. Ini salah dari segi hukum syarak. Adik beradik lain perlu tahu bahawa emas itu sudah diagihkan. Besar dosanya memakan harta batil.

 

Bayangkan ia sudah berlalu 5 tahun, 10 tahun. Perempuan itu telah memakai harta Pusaka arwah yang bathil. Sudah berlipat ganda dosannya. Jadi jangan agih sesuka hati. Bincang dengan semua dengan harmoni

 

Begitu juga dalam kes tanah, rumah dan sebagainya. Eloklah berbincang baik dengan semua adik beradik bagaimana rumah arwah ini. Eloklah dibincang elok sebelum menduduki rumah si arwah. Risau ada yang tak senang hati. Risau diri termakan harta batil. Elok dielakkan terus.

 

Ada juga saya baca artikel, isteri perlu tahu num pin suami supaya boleh keluarkan duit apabila meninggal. Ada benarnya. Ambillah semua, tapi sila beritahu kepada waris waris lain anda telah mengeluarkan duit arwah. Gunakanlah duit tersebut untuk kos kebumi sahaja.

 

Langkah 2: Ambil harta arwah untuk kos kebumi

Apabila arwah meninggal, kita boleh mengambil sedikit harta untuk urusan kebumi jenazah. Segala urusan tentang kebumi boleh diambil dari harta si arwah. Tiada masalah. Itu semua harus faham. Namun kos catering tahlil, bayaran Ustaz bacaan tahlil TIDAK DIBENARKAN. 

 

Kerana tahlil bukanlah termasuk dalam kos kebumi arwah. Ini salah faham biasa berlaku dalam masyarakat Melayu Islam. Jangan diambil duit arwah untuk tahlil. Hanya dibolehkan untuk kebumi sahaja.

 

Image result for debt

 

Langkah 3: Bayar hutang arwah

Hutang ada 2 jenis.

 

Hutang kepada Allah swt ada 5:

1. Meninggalkan puasa ( Fidyah)

2. Haji ( Badal Haji)

3. Zakat

4. Nazar

5. Kafarah

 

Ini yang perlu dibayar oleh waris terlebih dahulu. Saya dapat satu kes arwah tidak pernah berpuasa sepanjang hidupnya. Sehingga habis harta pusaka untuk membayar fidyahnya sahaja. Ya, jika habis Pusaka arwah. Habislah. Tiada yang akan difaraidkan.

 

Menyelesaikan hutang arwah ialah benda utama perlu difikirkan oleh waris. Jadi elok eloklah kita yang masih hidup ini. Catatlah berapa kita tinggal puasa, zakat, dan sebagainya. Biar waris tahu apa hutang kita. Tambahan hutang kafarah iaitu bersetubuh di pagi Ramadan. Ia tetap perlu dibayar.

 

Hutang bukan benda remeh. Ia benda yang sangat sangat besar. Jika seorang itu mati syahid sekalipun hutang perlu dilangsaikan oleh waris.

 

Selepas habis membayar hutang arwah kepada Allah swt. Hutang seterusnya hutang kepada manusia

 

Hutang kepada manusia seperti biasa, hutang pinjaman kawan, hutang bank, hutang top – up, hutang kad kredit. Semuanya perlu dibayar oleh waris. Pernah sat ukes waris dapat duit sejumlah yang banyak. Seronok sangat sehingga habis dalam masa 2 minggu saja selepas arwah meninggal.

 

Bulan depan datang bil U Mobile, kad kredit Citibank, hutang arwah yang belum dilangsaikan. Kan teraniaya roh arwah? Ada juga waris kata kepada saya. “Tak perlu hutang topup atau kredit kad ini tuan. Bukan bank bankrap pun”.

 

MasyaAllah!

 

Kasihanilah roh arwah. Kerana inilah kalau boleh bawa bawa anak anak mahupun pasangan kita ke seminar faraid, Hibah, wasiat supaya mereka tahu bagaimana nak urus Pusaka sebaiknya. Ajari mereka ilmu pusaka. Biar nanti kita tiada mereka boleh uruskan sebaik mungkin

 

Langkah 4: Tuntutan harta sepercarian

Proses ini dibuat di mahkamah Syariah dengan bantuan Peguam. Anda tidak boleh membuat sendiri. Proses ini tidak wajib. Jika tiada yang menuntut, kita boleh terus ke langkah yang seterusnya.

 

Langkah 5:Wasiat 1/3

Jika si arwah pernah mewasiatkan untuk bersedekah kepada BUKAN WARIS. Pihak waris wajib mengikut pesanan yang ditinggalkan. Contohnya, ibu kita pernah berpesan sedekahlah ke rumah tahfiz di kampung kita jika mak tiada.

 

Kita wajib mengikut pesanan wasiat kerana WASIAT SEDEKAH 1/3 adalah hak arwah. Kita wajib mengikutinya. Dan ini pentingnya membuat wasiat sedekah 1/3 kerana di sinilah boleh mengalir pahala berpanjangan kepada arwah dan membantu urusan perhintungan arwah di sana.

 

Namun jika wasiat kepada waris sendiri, apa maksudnya? Kepada yang mereka yang ada pertalian darah. Wasiat itu tidak wajib diikut. Contohnya. Ibu mewasiatkan harta ibu diagih sama rata kepada anak anaknya. Wasiat itu tidak wajib diikuti kerana ia melanggar dengan hokum syarak iaitu wasiat hanya untuk sedekah kepada bukan waris sahaja.

 

Langkah 6: Muafakat

Selalu soalan yang ditanya, mana lebih baik muafakat atau faraid? Jawapannya muafakat lebih baik. Boleh baca apa itu Takharruj. Apa itu Takharrruj? Ianya satu penyelesaian hukum perwarisan islam  dalam mengagihkan Pusaka. Boleh baca lebih lanjut di sini.

 

Langkah 7: Agih ikut faraid

Ini adalah langkah terakhir. Kebiasaanya inilah biasa dibuat di luar sana. Dalam kes yang diuruskan oleh kami. Kami akan melakukan kaunseling supaya beberapa harta tidaklah mengikut contoh rumah yang arwah tinggal atau tanah. Agih ikut muafakat lebih baik.

 

 

Sekarang Di Mana Nak Urus Harta Pusaka Arwah?

 

Di mana anda boleh uruskan harta arwah?

Apabila arwah meninggal, cuba Analisa berapa nilaian harta arwah yang ditinggal, berapa wang ditinggalkan, berapa tanah dan rumah ditinggalkan dan cek berapa harga pasaran aset tersebut. Tambahkan semua. Ada 3 tempat yang anda boleh urus Pusaka anda:

1. Pesaka Kecil– Jika harta arwah bawah 2 juta ( mempunyai tanah atau rumah)

2. Mahkamah Tinggi – jika harta arwah lebih 2 juta

3. Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi – jika harta arwah hanya aset alih seperti kereta dan tunai sahaja

 

Proses di Pesaka Kecil

Jika di Pesaka Kecil, anda perlu membuat permohonan di Pesaka Kecil. Anda perlu mengisi borang A . Setelah selesai, anda akan diberi Surat Kuasa Mentadbir. Permasalahan yang sering berlaku ialah waris anggap urus pusaka cepat sangat ialah satu kesalahan, atau bahasa mudah nampak tamak, sedangkan ia perlu diuruskan cepat kerana lagi cepat, lagi mudah dapat permuafakatan.

 

Pengalaman saya menguruskan ialah kita akan dapat permuafakatan waris dengan kaunseling pusaka. Di sini bahagian penting yang biasa tidak dibuat oleh orang biasa. Kita akan mendapatkan keputusan agihan Pusaka dengan dokumen hitam putih. Masuk sahaja perbicaraan di Pesaka Kecil. Kes kami tidak sampai 15 minit sudah selesai. Saya ingat lagi satu kes di Perak, sebelum giliran kami.

 

Image result for mahkamah

 

Ada 10 waris masuk dan masuk hampir 1 jam. Mereka keluar tampak kecewa dan marah. Mungkin bergaduh waktu bicara barangkali. Ini masalahnya yang biasa berlaku.

 

Belum lagi yang cuba buat buat sendiri. Ya  urusan harta pusaka arwah selesai juga, tapi habis nama waris dimasukkan ke dalam satu geran rumah atau tanah. Tanah sudah ada 10 nama. Jika 10 tahun berlalu, tidak mustahil ada 100 nama dalam geran tanah yang tidak sebesar mana. Di sini penting proses ini dibuat oleh orang yang berpergalaman ataupun pakar.

 

Jika anda mengalami rosak kereta, anda akan memilih untuk tukar sendiri atau pergi ke Kedai? Barangkali anda pergi ke Kedai untuk bertanya kepada mereka yang pakar betul? Ataupun  ada juga boleh repair sendiri namun tak ramai. Ada juga pandai repair sendiri tapi tiada masa pula.

 

Dalam isu Pusaka lagi rumit, ia melibatkan emosi waris. Persetujuan waris melepaskan hak amat sukar jika dibuat oleh waris juga. Perlu ada orang ketiga yang memberi nasihat serta taklimat. Serta dibuat dengan betul dan cepat. Kita ada dapat kes waris 30+ orang.

 

Meninggal pada tahun 1970 an lagi. Boleh diurus dalam 6 bulan sahaja, keluarga keluarga ini sudah tak bertegur sebab bergaduh Pusaka, kami yang datang ke rumah ke rumah mendapatkan perlepasan hak dari mereka. Akhirnya dalam masa 6 bulan menunggu Tarikh bicara,  15 minit saja bicara. Selesai.

 

Kos dalam berapa untuk pengurusan Pusaka di Pesaka Kecil oleh pakar Pusaka?

Dalam RM2000 ke RM6000 sahaja. Bergantung kepada komplikasi kes. Jika mudah, waris tidak banyak, waris semua muafakat, waris semua setuju urus cepat, waris hanya satu lapis sahaja, tidak kematian berlapis, waris semua setuju ingin memudahkan urusan arwah, Kosnya rendah sahaja. RM2000 sahaja.

 

Namun jika sudah ada kematian berlapis, waris semua tidak dijumpai, geran tidak dijumpai, kos akan naik berdasarkan kes tersebut

 

Proses di Mahkamah Tinggi

Proses Pusaka di Mahkamah Tinggi akan dibuat jika harta arwah lebih 2 juta, dalam kes ini anda perlu mencari Peguam untuk menguruskannnya. Anda perlu mendapatkan Letter of Adminstration ( tidak ada wasiat) atau Probate ( jika ada wasiat) Memang tiada cara lain.

 

Proses lebih cepat dari Pesaka Kecil kerana ia tidak perlu menunggu Tarikh penbicaraan begitu lama seperti Pesaka Kecil, 6 bulan paling cepat. Jika di Mahkamah Tinggi. 1 bulan sudah boleh diuruskan.

 

Proses di Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi

Jika arwah hanya meninggal aset cair seperti KERETA ATAU TUNAI SAHAJA. Anda boleh membawa kes si arwah di Amanah Raya Berhad atau peguam. Cajnya seperti berikut (25 OGOS 2018):

RM25,000 PERTAMA – 5%

RM225,000 BERIKUTNYA- 4%

RM250,000 BERIKUTNYA- 3%

RM500,000 BERIKUTNYA- 2%

SELEBIHNYA- 1%

 

Cadangan saya, guna perkhidmatan yang dibuat oleh MyPusaka.info kerana mereka ialah pakar Pusaka yang sudah 20 tahun dalam industri dan pakar dalam bab urus Pusaka. Khidmat kaunseling dan mendapatkan muafakat waris itu tersangat sukar untuk diperoleh jika salah caranya. Namun mereka sudah berjaya uruskan kes dengan cepat dan kos yang efektif.

 

Uruslah Pusaka arwah secepat mungkin. Jangan bertangguh. Lagi lama anda bertangguh. Lagi terseksa hari demi hari, saat demi saat arwah di kubur. Sedekahlah banyak atas nama arwah. Berdoalah untuk kebaikan arwah. Bayarlah hutang arwah, biar jangan tertinggal hingga satu sen. Dan uruslah pusaka sehingga selesai.

 

Ingatlah hanya 3 perkara sahaja yang akan memberikan manfaat kepada kita kelak di waktu alam barzakh

Untuk yang masih hidup, rancanglah harta anda mungkin. Moga harta yang kita kumpul selama ini menjadi pelaburan akhirat yang membuahkan pahala berpanjangan kepada kita semua. Jangan lupa sentiasa beristighfar atas nama arwah, Moga ia dapat meringankan sebarang bebanan arwah. Amin

 

Artikel ini ditulis oleh Fatihin Abshar

Categories: Pengurusan Kewangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *