Takaful adalah instrumen kewangan yang membantu kita untuk mengawal risiko. Secara asasnya ianya adalah perkongsian risiko di antara pencarum takaful. Bagi memudahkan lagi penerangan, mari kita ambil contoh khairat kematian.

 

Konsep Takaful

Khairat kematian adalah satu tabung di mana akan digunakan untuk menyelesaikan kos pengurusan jenazah di sesuatu kawasan. Misalnya kos menguruskan satu jenazah adalah RM 1000. Ada keluarga yang
tidak bersedia dengan dana kecemasan sebanyak itu. Jadi dalam sebuah taman perumahan, mereka
akan buat satu tabung yang dipanggil tabung khairat kematian.

 

Tabung ini kebiasaanyya diuruskan oleh pihak surau atau masjid. Katakan dalam taman itu ada 100 penduduk Islam. Kadar kematian pula biasanya dalam setahun ada satu atau dua kes, kadang-kadang dalam setahun tidak kedengaran pun berita orang meninggal dunia. Jadi mereka berpakat masing-masing membayar caruman sebanyak RM40 seorang.

Konsep Khairat Kematian

Duit dari tabung khairat ini diharap mampu menampung kos pengurusan jenazah sekiranya berlaku kematian. Sekiranya ada ahli kariah yang meninggal dunia, maka ahli keluarganya akan menerima sejumlah wang yang diambil menggunakan dana dari tabung tadi. Dapatlah keluarganya menampung kos pengurusan jenazah. Mungkin juga ada lebihan untuk duit belanja dapur buat sebulan dua.

 

Jika anda faham penerangan di atas, anda mesti faham bahawa takaful adalah berdasarkan konsep tolong menolong. Duit yang kita sumbang bukannya ‘burn’, tapi digunakan untuk membantu orang lain. 

 

Fungsi Takaful

Takaful adalah instrumen kewangan yang membantu kita untuk mengawal risiko kewangan yang kita ada. Apakah risiko tersebut?

 

1. Penggantian Pendapatan (Income Replacement)

Penggantian Pendapatan bermaksud takaful yang akan membantu kita menyediakan wang pampasan sebagai ganti kepada pendapatan kita. Ada beberapa sebab yang menjadi punca terputusnya pendapatan, antaranya adalah:

  • Kematian
  • Cacat Kekal/ Lumpuh
  • Sakit kritikal

 

Jika kita ditimpa salah satu daripada perkara diatas, sudah pasti kita tidak mampu lagi bekerja dan terputus pendapatan, jadi siapa yang akan menanggung kos hidup kita dan keluarga? Di sinilah takaful akan membantu meringankan beban kewangan kita.

 

2. Kos perubatan (Medical Card)

Takaful juga menyediakan perlindungan bagi menanggung kos perubatan. Ya mungkin kita masih ada pilihan untuk pergi ke hospital kerajaan, tetapi di hospital kerajaan sekali pun, ianya bukan percuma 100%. Sebagai contoh, kos pembedahan ACL di hospital kerajaan boleh mencecah sehingga RM11,000.

 

Disini takaful akan membantu kita dengan menyediakan dana perubatan apabila berlakunya perkara yang tidak dijangkakan. Bak kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.

 

Keperluan takaful bagi setiap individu berbeza-beza, tidak semua orang perlu ambil semua jenis takaful. Mungkin ada yang perlu ambil medical card sahaja dan ada yang perlu income replacement sahaja. Terdapat 11 syarikat takaful di Malaysia, anda boleh pilih plan yang paling bersesuaian dengan keperluan diri.

 

Categories: Takaful

1 Comment

Bila Waktu Terbaik Anda Patut Melanggan Takaful? - Sembang Labur · October 25, 2018 at 2:53 am

[…] Artikel berkaitan: Apa Itu Takaful? […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *